USAHAWAN SANI EXSPRESS



USAHAWAN SANI EXSPRESS
















Saya memilih Datuk Sani kerana beliau merupakan seorang yang sangat berkaliber. Usaha beliau dalam mengembangkan perniagaannya sangat dikagumi. Beliau mula mencipta kejayaan pada usia masih muda lagi dan jarang untuk seseorang menempa nama di dalam industri perniagaan pada usia yang muda. Beliau juga seorang yang kuat semangat dan tidak mudah mengalah dalam melakukan sesuatu hal. Oleh kerana sifat yang sentiasa berfikiran positif, beliau kini berjaya sebagai seorang usahawan dalam bidang pengangkutan.


Nama : Datuk Wan Mohammad Sani Salleh


Usia : 38 tahun


Lahir : 24 Julai 1976 di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu


Adik Beradik: Keempat daripada enam beradik


Pendidikan : Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Sunway (1994)

Jawatan : Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties Sdn Bhd dan Sani Hotel Sdn Bhd).


Pencapaian : Dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (Jun 2009) dan Anugerah Usahawan Cemerlang Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur (April, 2009)
 


Dato’ Sani merupakan seorang anak muda tempatan yang mempunyai semangat yang kental kerana pada usia 35 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9 juta.






Artikel 1: 


Monday, August 15, 2011


Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tekad yang menggambarkan liku-liku perjalanan Datuk Wan Mohammad Sani Salleh sebelum bergelar usahawan muda Melayu negara yang berjaya.
Beliau merupakan pemilik rangkaian operasi bas yang sedang meningkat naik Sani Ekspres di bawah kendalian syarikat, Sani United Sdn. Bhd. (SUSB).
Pada usia 35 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9 juta.
Memang selayaknya anak muda itu digelar jutawan, tetapi beliau lebih gemar merendah diri dan mengatakan apa dimilikinya hari ini adalah rezeki diberi Allah SWT. 

Biarpun baru berusia 35 tahun tetapi Wan Mohammad Sani sudah menggenggam pelbagai pengiktirafan termasuk Tokoh Usahawan Muda, anugerah yang dinobatkan oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), baru-baru ini.
Malah, beliau dianggap ikon generasi muda dalam dunia perniagaan masa kini.

Berkongsi Pengalaman 
Ketika berkongsi pengalamannya, Wan Mohammad Sani berkata, beliau sendiri tidak pernah terlintas untuk berada di tahap sekarang biarpun memiliki impian menjadi ahli perniagaan sejak remaja lagi.
Sewaktu mengimbau semula sejarah perniagaanya, beliau berkata, hasrat untuk memiliki perniagaan bas timbul selepas sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Terengganu 20 tahun lalu.
''Saya sebenarnya memulakan perniagaan melalui naluri sendiri, tidak ada orang suruh, tidak mendapat pandangan orang lain. Penglibatan dalam bidang ini adalah atas desakan diri sendiri.
''Saya akui mempunyai sedikit kelebihan iaitu pandai mencari peluang dan peluang yang ada saya gunakan sebaik mungkin, kalau tidak sampai bila pun kita tidak mampu mendapatkannya lagi,'' katanya.
Katanya, pengalaman menaiki pelbagai perkhidmatan bas mendorong dirinya sendiri untuk memberi perkhidmatan bas terbaik suatu hari nanti. 
Dengan peluang yang diberi, beliau mula membuat kajian terperinci, penganalisis dan menstruktur strategi.

Cabaran
Ditanya mengapa industri pengangkutan menjadi pertaruhannya, Wan Mohammad Sani berkata, tiada sebab lain kecuali sektor tersebut begitu mencabar sehingga memerlukan semangat yang kuat kerana ia bukan mudah, selain risiko juga cukup banyak.
Namun, beliau tidak menafikan kesukaran yang dilaluinya berbaloi apabila Sani Ekspres kini adalah peneraju dalam pengangkutan ekspres di Malaysia.
“Apapun pada Januari 2006 Sani Express ada di jalan raya dan alhamdulillah perjalanan perniagaan ini lancar, mendapat sambutan dan sejak itu perniagaan saya semakin pesat berkembang,” katanya.
Sani membuktikan ‘jalan’ dipilihnya berbaloi kerana hanya dalam tempoh tiga tahun Sani Express menunjukkan prestasi luar biasa.
Daripada seorang pekerja, Sani kini mempunyai 150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat kecil di Ukay Perdana, Sani kini ada wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai dengan belanja mencecah RM 7 juta.

Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau.
Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan.
Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.
“Saya bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.
“Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, biarpun SUSB adalah miliknya, tetapi dia masih bekerja seperti makan gaji untuk memastikan syarikat itu menjadi sebuah syarikat pengangkutan terbesar akan tercapai suatu hari nanti.
''Saya sedar impian ini sukar dan saya tidak ada jalan lain kecuali berusaha, berusaha dan berusaha,'' ujarnya.

Perancangan
Wan Mohammad Sani berkata, dia bukan sahaja berhasrat memiliki 100 buah bas dan meneroka semua laluan yang ada, tetapi juga mahu memperkenalkan bas-bas berteknologi tinggi di Malaysia seperti bullet bus hasil kerjasama dengan sebuah syarikat di Sweeden.
Ia selari dengan hasratnya - mahu mengubah persepsi bahawa penggunaan bas ekspres bagi perjalanan jarak jauh adalah lebih menjimatkan dan selamat. ''Ia adalah keutamaan saya sekarang,'' kata beliau.



Artikel 2: 

Sani Express beri sokongan padu

SOKONGAN padu terus dihulurkan Sani Express Sdn Bhd (Sani Express) dalam menjayakan Karnival Futsal Harian Metro dibawa oleh AmBank buat tahun kelima berturut-turut.
Sani Express tampil sebagai bas rasmi karnival ini yang akan membawa seluruh ahli jawatankuasa penganjur ke setiap zon dipertandingkan bermula di Zon Utara (Pulau Pinang), Selatan (Johor Bahru), Timur (Kuantan) dan Tengah 2 (Melaka).

Ketua Pegawai Eksekutif, Mejar (B) Abu Bakar Mohammad berkata, penyertaan Sani Express sebahagian daripada usaha memberi sokongan kepada aktiviti sihat.
“Kami di Sani Express terus komited menjalinkan kerjasama ini dan saya sedang berusaha menubuhkan satu pasukan futsal untuk menyertai mana-mana pertandingan agar semua kakitangan dapat bergiat aktif dalam sukan.

“Bagi saya, sukan sebenarnya boleh diguna pakai dalam kehidupan harian dan saling berkait antara satu sama lain. Justeru, jalinan kerjasama ini secara tidak langsung dapat membantu menaikkan semangat warga kerja Sani untuk turun ke padang menyertai aktiviti sihat,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar turut memaklumkan penjenamaan Sani Express akan diperluas dengan mengembangkan sayap perjalanannya meliputi destinasi ke seluruh negara apabila bakal memperkenalkan laluan baru dari ibu negara ke selatan tanah air, malah hingga ke Singapura mulai Ogos ini. “Kami merancang pelaburan kira-kira RM20 juta untuk membeli bas baru dan membuka beberapa pusat jualan selain sudah menempah 13 unit bas baru yang kini dalam proses pembikinan. “Operasi ke Selatan membabitkan laluan Kuala Lumpur dan Melaka sehinggalah Singapura. Selain itu, kami akan memperkenalkan laluan ke Pulau Pinang dan membuka pejabat jualan di sana juga pada Ogos. Ketika ini Sani Express hanya menyediakan perkhidmatan ke Butterworth saja,” katanya.







Artikel 3: 

Mohd Sani dDianugerah Usahawan Muda

 KPTM


KECEWA dengan mutu pengangkutan awam negara yang sering dinaikinya ketika zaman persekolahan mendorong Datuk Wan Mohd Sani Salleh, 35 membuka syarikat bas ekspresnya sendiri.
Beliau melihat terdapat banyak kelemahan dalam sistem itu yang perlu dipertingkatkan kerana ia menjadi medium utama masyarakat untuk bergerak.
Kini, mimpinya itu membuahkan hasil selepas berjaya menubuhkan syarikat Sani United Sdn Bhd yang begitu dikenali ramai dengan perkhidmatan bas ekspres Sani Express.
Berkat kejayaannya membangunkan syarikat pada usia yang muda, Pengarah Urusan Kumpulan ini dianugerahkan Usahawan Muda Berjaya 2011 oleh Kolej Polytech MARA (KPTM) di KPTM Bangi, baru-baru ini.
Anugerah disampaikan Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan turut disaksikan kedua ibu bapa beliau, Datuk Salleh Biji Sura dan Datin Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalullail.
Hadir sama Pengarah KPTM Bangi, Abdul Azmi Abdul Aziz, Timbalan Presiden Akademik KPTM, Ismail Junuh dan Timbalan Presiden Hal Ehwal Pelajar KPTM, Dr Wan Sabri Wan Hussin.
Mohd Sani berkata, beliau berharap kejayaannya itu dapat dijadikan contoh kepada generasi muda bagi menggalakkan pembabitan mereka dalam bidang keusahawanan.
"Saya berhasrat membuka yayasan bagi membantu masyarakat yang memerlukan dalam tempoh lima tahun, selepas berjaya dalam projek perhotelan di seluruh Malaysia," katanya. Sementara itu, Sohaimi berkata, anugerah julung kali itu diadakan sebagai penghargaan kepada usahawan pada usia muda.
Selain itu, ia juga bagi membangkitkan semangat pelajar KPTM untuk turut bercita-cita berjaya dalam bidang keusahawanan dan menjadikan penerima anugerah sebagai contoh.

1 comment: